Skip to main content

Tragedi Masjid Paling Mengerikan


Serangan seorang pemuda kulit putih warga Australia ke atas dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada hari Jumaat yang lalu adalah tragedi hitam untuk umat Islam dan warga manusia sejagat. Ia membunuh 50 orang yang sedang bersolat Jumaat dan puluhan lain yang lagi cedera. Tembakan rambang oleh Brenton Tarrant, pemuda berusia 28 tahun itu terhadap sesiapa sahaja yang ada di dalam masjid tanpa belas kasihan, ketika mangsanya pula ialah mereka yang tidak tahu apa-apa telah menimbulkan banyak spekulasi tentang kelibat pemudat tersebut.
Neneknya, Marie Fitzgerald, 81, dalam satu ulasannya kepada sebuah televisyen Australia menyatakan bahawa cucunya itu telah menjadi seorang yang lain. Tracey Gray bekas majikan kepada pemuda itu pula dalam satu komennya menyatakan bahawa Brenton seorang yang rajin dan pekerja yang baik, seperti kebanyakan orang yang lain. Dia yang berkerja sebagai jurulatih kecergasan dikatakan seorang yang suka menolong ahli komuniti lain, termasuk kanak-kanak. Malah, dia bekerja di situ beberapa tahun. Ini bermaksud Brenton sebenarnya seperti individu yang lain juga.
Sejak tular kejadian pembunuhan itu ke seluruh dunia, pelbagai andaian muncul untuk meneroka siapakah sebenarnya pemuda terbabit. Ada yang menyatakan bahawa beliau berpegang kepada fahaman rasis aliran kanan iaitu bersifat nasionalis terhadap bangsa kulit putih dan menolak sesiapa sahaja yang lain. Ada pula yang menyatakan bahawa cara pembunuhan itu seolah-olahnya seperti permainan video atas talian PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) yang kini sedang menjadi kegilaan di merata dunia.
Tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa fahaman yang dipegang itulah yang menyebabkan ia sangat membenci pendatang Islam ke New Zealand.
Kajian
Kajian-kajian psikologi yang dilakukan selama ini menunjukkan bahawa manusia cenderung untuk sukakan kelompok mereka sendiri dan bencikan orang luar. Dalam satu kajian di Sweden pada tahun 2010, sekumpulan penyelidik menjatuhkan kira-kira 100 sampul surat yang dengan sengaja dibiarkan terbuka ke dalam satu kampus universiti. Didalamnya terdapat wang kira-kira SEK20 atau sekitar AS$8 (RM32.62).
Sampul surat itu sama ada ditujukan kepada Andersson, nama yang lazim digunakan di Sweden dan satu lagi ditujukan kepada Abdullah. Penyelidik ingin melihat sejauh mana orang yang mendapat sampul surat ini akan memulangkan sampul surat berisi wang itu kepada penerima tadi.
Hasil kajian menunjukkan 58 peratus surat yang ditujukan kepada Andersson dipulangkan, sebaliknya hanya 36 peratus surat yang ditujukan kepada Abdullah dipulangkan semula.
Ini menunjukkan manusia akan selalu cenderung berbuat baik dengan kelompok sendiri dan mungkin akan memberi reaksi negatif kepada orang asing.
Permainan video ganas juga hakikatnya boleh menyebabkan manusia menjadi ganas, walaupun tidaklah semestinya mereka terlibat dengan jenayah. Banyak kajian psikologi menunjukkan bahawa permainan video yang ganas ini boleh membangkitkan perasaan, pemikiran dan tingkah laku ganas.
Bagaimanapun, untuk menyatakan bahawa pelaku pembunuhan di masjid Christchurch itu ialah seorang yang dipengaruhi oleh permainan atas talian atau seorang yang berfahaman tertentu yang menyebabkan ia membunuh orang lain tanpa rasa kasihan juga mungkin bukan kesimpulan yang baik. Banyak fenomena yang berlaku dalam kehidupan manusia itu sukar dirungkai sebab musababnya.
Kontroversi
Malah, pandangan yang agak kontroversi menyatakan bahawa ada manusia yang secara semula jadinya dilahirkan sebagai penjenayah. Malah, mereka boleh dikenali dengan raut wajahnya. Hal ini dibuktikan sekumpulan penyelidik dari Cornell University yang diketuai oleh Prof. Jeffrey Valla. Dengan menunjukkan 32 gambar raut wajah pemuda berkulit putih yang separuh daripada mereka ialah penjenayah, kelihatannya manusia boleh meneka dengan agak tepat siapa yang yang dianggap sebagai manusia jahat dan siapa yang dianggap insan yang baik. Dalam kata yang lain, gerak hati manusia mengenal pasti watak penjenayah berdasarkan rupa paras sahaja.
Bagi pengkaji aliran ini, dikatakan bahawa manusia yang berkemungkinan terlibat dengan jenayah itu biasanya mempunyai rambut yang agak lurus, hidung yang mendatar, bermuka lebar dan mempunyai bibir yang lain daripada kebanyakan orang awam yang lain.
Sama ada pandangan ini benar atau sebaliknya, kelihatannya kita sendiri pun ada pengalaman tertentu apabila berhadapan dengan penjenayah. Kita agak sangsi dengan individu tertentu sebaliknya kita agak peramah dengan sesetengah orang.
Di sebuah universiti di Shanghai, China sekumpulan penyelidik lain telah mencipta mesin pengesan wajah penjenayah. Walaupun ia kontroversi, tetapi penyelidik mendakwa bahawa 89.5 peratus pengesanan mesin itu adalah tepat.
Semua ini menunjukkan bahawa tidak ada satu pun sebab yang di­ke­tahui mengapa seseorang itu bo­leh menjadi ganas seperti yang dilakukan oleh penjenayah di dua buah masjid di Christchurch terbabit.
Kepada yang telah melihat wajah Brenton Tarrant, anda mungkin boleh membuat kesimpulan sendiri mengapa dia menjadi seperti itu.

Comments

Popular posts from this blog

Aiman Tino Diganggu Lelaki Gay

Isu Video Bogel Aiman Tino

Komen PU Azman Tentang Ebit Liew